[R][I][A][D][A][H] [M][I][N][D][A]Salam persahabatan, salam ukhuwwah buat semua di luar sana. Semoga sekalian berada dalam redha dan kasih sayang Allah.
Berkelana di bumi Tuhan, bertanya khabaran insan, merenung dan berfikir dalam sejenak tentang maksud diciptakan sebuah kehidupan. Ya, mengapa kita diciptakan? Apa tujuannya manusia dipilih? Bukan langit, bukan gunung dan yang terpilih ini adalah manusia.
Ya, manusia yang zalim dan jahil.
Manusia yang seringnya menjadi punca pada kekacauan, menjadi aset maksiat, menjadi barang murahan dari serendah-rendah martabat hingga ke puncak nilaian sebagai manusia..itulah yang dipilih oleh Al Khaliq. Mengapa ya? Mengapa kita semua yang terpilih??
Terlalu banyak sebenarnya persoalan yang bermain di minda. Letakkan topi permikiran (kata seorang kawan) untuk diam dan berfikir. Ya, zikir dan fikir..ingat dan bertafakur dalam sejenak akan hakikat kejadian dan penciptaan.
Mari kita suluri 5 prinsip yang ada dalam Ilmu Tauhid, yakni ilmu yang mengetengahkan konsep keESAan atau kepercayaan dan kebergantungan pada sesuatu yang agung, kepada yang satu, yang tunggal dan tiada lain sepertiNya. Ya..itulah Allah Khaliqul ‘aalamin. Dalam dunia ini hanya akan ada pencipta dan penciptaan. Yang mencipta dan yang dicipta (creator and creation) Konsep duality yang cuba dibawa dalam ilmu tauhid yakni kewujudan dua entity yang besar dan secara hakikinya menolak konsep trinity yang dibawa oleh agama yang lain.
Yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah akan ada bagiNya anak, sedangkan Dia tidak mempunyai isteri? Dia menciptaan tiap-tiap sesuatu dan Dia mengetahui tiap-tiap sesuatu. Demikian itulah Allah Tuhanmu, tidak ada Allah melainkan Dia, Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, sebab itu kamu sembahlah dan Dia wakil atas tiap sesuatu. Dia tidak diperdapat dengan penglihatan (mata) dan Dia memperdapat penglihatan; dan Dia Mahahalus lagi Mahamengetahui.
(Al-An’aam: 101-103)
Keduanya adalah konsep ideationality. Ia membawa kepada konsep pemahaman akan hubungan dengan pencipta melalui pelbagai sumber ilmu di sekeliling kita. Contonya, dari sumber wahyu (Al Quran dan Sunnah) taakul dan logic aqal, naluri manusia, kajian dan sebagainya. Ya, Allah suruh kita melihat dan menterjemah akan apa yang terlihat di depan mata. Tak perlulah bersusah untuk berfikir bagaimana rupanya Allah. Fikirkan sifat-sifatNya yang Agung dan terlalu sempurna. InsyaAllah..kita cuba mengagungkan konsep makrifatullah, kenal Allah dari apa yang telah Dia ciptakan.
Timbulkan rasa takjub dan syukur atas segalanya yang indah. Ya, kehidupan yang terlalu indah bagi mereka yang berfikir.Ulama salafi ada mengatakan: Barangsiapa kenal dirinya, maka dia akan kenal Tuhannya. Ya, lihat diri sendiri dan fikirlah.
Ketiganya adalah tentang Teleology-perposive atau penciptaan yang bersebab. Tidak diciptakan sesuatu itu tanpa sebab dan sekali lagi, ianya hanya diteliti dan diambil kisah oleh insan-insan yang sudi berfikir.Mungkinkah sesuatu itu wujud dengan sendirinya?
Sesungguhnya telah Kami turunkan sebuah kitab kepadamu, didalamnya peringatan untukmu, Tiadakah kamu memikirnya?
Al-Anbia': 10
Allah yang mnciptakan langit dan bumi dan apa-apa yang ada dia natara keduanya, dalam enam hari (masa) kemudian Dia bersemayam (berkuasa) di atas Arash. Tidak ada untuk mu wali dan tidak pula penolong selain daripadaNya. Tiadakah kamu mendapat peringatan?Segala yang ada di bumi ini bergerak dan berfungsi dengan aturan Allah yang satu. Mana mungkin boleh bergerak sesuatu tanpa penciptanya dan jika ada lebih dari satu penguasa pun, akan kacau bilau lah sesebuah kerajaan. Ya, terhambur rasa kagum yang amat bila memikir akan kuasa Allah yang Maha Hebat. Natural Law, atau undang-undang semulajadi yang terbentang di depan mata adalah tamsilan pada kekayaan dan keagungan Tuhan yang mencipta segala. Allahu Akbar!!
Al-Sajdah : 4
Konsep keempat menyentuh tentang kebolehan manusia dan transformasi mereka untuk berubah. Ia..berubah kepada muda kepada tua, dari jahat pada yang baik dan sebagainya. Mengikut teori psikologi pembangunan insan dari kacamata Islam, manusia akan melalui 3 proses utama dalam hidup yang mana akan bermula dengan yang lemah dan berakhir juga dengan yang lemah.
Ya, peringkat pertama bermula dari peringkat bayi (level lemah) hingga ke puncak umur (lebih kurang umur manusia dewasa) Saat di umur matang itulah (25-40>) manusia dikategorikan sebagai insan yang kuat. Bila umur semakin senja, manusia akan kembali pada diri yang lemah. Teori ini sebenarnya ada pada setiap elemen hidup. Ya, pada satu hari di mana sesuatu akan bermula dan kemudian mendaki tingkat kemenangan dan akhirnya turun kembali pada landasan yang bawah. Itulah enaknya bila segala yang dicipta memungkinkan manusia untuk berfikir dan menaakul atas segala yang terjadi di depan mata.
Komposisi manusia mengandungi tiga elemen penting yakni fizikal, mental dan spiritual. Sebelum pergi jauh dengan kupasan konsep, kita jenguk dulu tentang komposisi manusia tadi. Fizikalnya adalah ditentukan Allah. Ya, ada yang sempurna dan ada yang kurang elanya. Allah saja yang tahu mengapa diciptakan kepelbagain dalam fizikal manusia.
Elemen mental tentunya pada minda. Minda pula terbahagi pada 3 bahagian; yakni sedar, separa sedar dan tidak sedar. Minda berfungsi untuk membantu manusia menaakul sesuatu. Cantiknya jika timbangan aqal pada satu keputusan itu bergantung pada wahyu dan kebijaksanaan berdasar iman yang hakiki.
Ketiganya adalah elemen spiritual. Elemen ini berkaitan dengan hati. Ya hati yang fungsinya sebagai raja diri. Islam meletakkan hati sebagai alat penting cerminan kendiri. AlGhazali berkata bahawa hati itu adalah refleksi perbuatan insan. Baik hati, baiklah tindakannya dan begitulah sebaliknya.
Konklusi utk konsep keempat ini ialah, manusia itu perlu menggabungjalin segala elemen tadi demi berfungsi sbg manusia sempurna. Manusia yg sempurna dapat menjadikan keseluruhannya sebagai satu sistem badan yang dipaksikan atas sebab penciptaan. Maknanya, ia dilaras untuk berfungsi sebagai hamba Allah, melakukan segala perbuatan kerana Allah dan memenuhi tuntutan kehidupan sebagai manusia yg berguna. Selain itu, konsep perubahan ini adalah satu kecenderungan utk menjadi yg baik dan sebaliknya.
Yea, manusia itu sebaik-baik ciptaan dari pencipta agung. Lihat saja kehebatan ciptaan insan yg bernama manusia; mata,telinga dan segala fungsinya amat nyata. Dipendekkan cerita, benda yang hebat ini tentunya dicipta oleh pencipta yang hebat juga. Itulah Allah Robbul 'aalamin.
Konsep kelima adalah tentang tanggungjawab manusia dan perhitungan ke atas segala perbuatannya. Ya, setiap amalan akan diperhitungkan dan pastinya ada balasan yg hakiki di kemudian hari. Ya, cuma dua yakni syurga dan neraka. Bila diri tahu bahawa adanya hari perhitungan, maknanya manusia akan sentiasa berhati-hati untuk beraksi. Kontrak ruhiah yang telah diikat oleh manusia dan pencipta pada zaman ruhnya akan membawa kepada penyelarasan amal ma'ruf.
Ya, kontrak antara pencipta dan ciptaan. Kontrak antara hamba dan tuan, yang menjelaskan hubungan dan kesaksian yang hakiki.
Segala perbuatan biar dipantau iman dan taqwa. Segalanya bakal dihitung dan demi Tuhan, moga segala amalan kecil dan besar ini ada ganjaran dan rahmat Tuhan
Akhir kalam. Buat yang sudi berfikir, kita tadahkan telinga, pinjamkan mata utk menilai kembali segala-galanya. InsyaAllah, bahagia buat insan yang mahu berfikir. InsyaAllah, doakan agar segala diterima Tuhan. Sentiasa bermuhasabah dan berbalik pada kehidupan berTuhan. Berjuang dan berkorban demi cinta :)
Ya Allah
Ampuni aku
Ya Allah
Akulah insan hina
Ya Allah
Hanya dikAU segalanya
Ya Allah kembalikan aku ke jalan redhaMu
Tiada yang lebih agung kecuali engkau wahai Tuhanku
Waalahu'alam.
No comments:
Post a Comment